Pengalaman Ringkas di Zanzibar

Kongsikan
Zanzibar adalah kepulauan Tanzania di luar pantai Afrika Timur. Pulau utamanya Unguja yang dikenali sebagai Zanzibar adalah Bandar Batu - Stone Town - kerana terdapat banyak bangunan yang dibina menggunakan batu karang dan batu kapur.

Selepas seminggu berada di Kenya kami menyenaraikan beberapa destinasi berdekatan untuk dilawati. Kami berada di Nairobi ketika itu, Mombasa tidak banyak perbezaannya dengan Nairobi jadi tiada penerokaan baru yang menarik untuk dilakukan. Pada bahagian utara Kenya pula ialah Ethiopia dan rakyat Malaysia pula memerlukan permohonan visa – bukan VOA (Visa On Arrival) – jika masuk ke sana.

Kami memikirkan lagi pilihan lain yang boleh dilakukan, jika ke Madagaskar kos penerbangan pula agak mahal melebihi RM3,000. Akhirnya kami memilih Zanzibar, Tanzania kerana kos penerbangan dua hala dari Nairobi hanya RM1,600 dan ianya menjadi pusat tarikan pelancong ke Tanzania selepas Serengeti National Park dan Gunung Kilimanjaro.

Pengalaman dan beberapa fakta tentang Zanzibar

  1. Stone Town merupakan tapak Unesco World Heritage adalah ibu negeri Zanzibar dan namanya diambil daripada bangunan-bangunan yang banyak dibina menggunakan batu karang dan batu kapur.
  2. Zanzibar terkenal kerana pantainya yang cantik seperti Maldives dan mempunyai sejarah silam yang ‘notorious’ kerana pernah menjadi pusat hamba abdi terbesar beberapa abad yang lalu. Cerita hamba abdi sangatlah menyemakkan fikiran saya kerana ia diniagakan oleh Sultan Zanzibar, seorang Arab berasal dari Oman.
  3. Apabila saya membuat pembacaaan dan melawat kawasan ini, rupanya perniagaan hamba abdi oleh pedagang Arab merupakan kes terpencil, seperti lanun-lanun Somalia yang beragama Islam melanun di perairan Yemen-Somalia ketika ini ataupun kumpulan Abu Sayyaf di kepulauan Sulu dan Jolo, Filipina.
  4. Perniagaan hamba abdi dikelolakan oleh Sultan Zanzibar yang berasal dari Oman. Sultan ini lebih seperti seorang lanun yang memperniagakan hamba abdi dengan usahasama kerajaan Amerika dan lain-lain negara. Pada tahun 1876 perniagaan hamba abdi telah dihapuskan oleh pihak Inggeris.
  5. Seramai 95 peratus penduduk Zanzibar adalah komuniti Muslim dengan 50 buah masjid terdapat di Stone Town. Saya kira Zanzibar ini 20 tahun kebelakangan pembangunannya berbanding Malaysia tetapi kebanyakan penduduknya boleh berbahasa Inggeris.
  6. Harga bilik hotel sangatlah mahal kerana kebanyakan pelancong adalah dari negara barat dan tidak kelihatan kelibat pelawat dari Asia. Harga makanan pula adalah berpatutan di mana sepinggan Beriani Ayam berharga 7,000 Tanzanian shilling dalam lingkungan RM12.
  7. Kami menyewa sebuah kereta bersama pemandu dengan harga USD135 selama sehari suntuk untuk mengelilingi seluruh pulau Zanzibar.
  8. Setiap 10 km ada sahaja sekatan jalan oleh polis dan adat buruk di sini ialah pemberian ‘derma’ 1,000 Tanzinian shilling untuk polis apabila melalui sekatan. Ini bermakna jika ada 10 sekatan jalanraya, maka terbanglah 10,000 Tanzinian shilling. Sesungguhnya rasuah ‘derma’ itu tersangat keji, lebih-lebih lagi jika ianya di amalkan oleh orang Islam.
  9. Jarang kelihatan kedai-kedai makan berada di tepi jalan kerana kos makanan agak mahal di Zanzibar. Penduduk tempatan hanya mampu memasak dan makan di rumah sahaja gamaknya.
  10. Kehidupan penduduk luar bandar kelihatan ringkas dan daif. Jalanraya adalah baik dan menghubungkan pekan-pekan kecil dengan resort bertaraf antarabangsa yang berselerakan di pantai-pantai sepanjang pulau ini.
The Rock Zanzibar
Sebuah restoran yang dibina di atas batu dinamakan The Rock. Kos makanan di sini adalah USD70 seorang.
Michamvi, Zanzibar, Tanzania
Foto di Shutterstock
The Rock Zanzibar
Jangan lepaskan peluang untuk lompatan ala hipster di ‘The Rock’.
Michamvi, Zanzibar, Tanzania
Kubu Lama Zanzibar
Kubu lama yang berada di Pekan Zanzibar.
Jalan Mizingani, Pekan Zanzibar, Tanzania
Bangunan batu di Zanzibar
Banyak bangunan di Stone Town diperbuat daripada batu karang dan juga batu kapur, sebab itulah pekan ini diberi nama Stone Town.
Stone Town, Zanzibar, Tanzania
26 Julai 2016
Remaja Zanzibar
Satu daripada aktiviti setiap petang di Stone Town adalah acara lompat free diving oleh budak-budak rempit Zanzibar.
Stone Town, Zanzibar, Tanzania
26 Julai 2016
Sampan kayu lama
Sampan yang diperbuat daripada dua keping kayu tanpa sebarang paku.
Zanzibar, Tanzania
26 Julai 2016
Kura-kura Pulau Canguu
Kura-kura Aldabra di bawa dari Pulau Seychelles beratus tahun dahulu. Ada yang berusia lebih 500 tahun kerana mula dibela sejak 1600. Paling disukai oleh semua kura-kura Aldabra adalah digosok lehernya seperti menggosok tengkuk kucing dan ia akan berdiam diri sahaja.
Pulau Changuu, Zanzibar, Tanzania
26 Julai 2016
Pasar malam Zanzibar
Pasar malam menjual daging bakar seperti sate dan dimakan bersama keledek.
Zanzibar, Tanzania
26 Julai 2016
Pasar malam Zanzibar
Roti dijual di merata pasar di atas basikal seperti ini.
Zanzibar, Tanzania
26 Julai 2016
Pelajar muslim Zanzibar
Sekolah agama di sebuah kampung kebanyakan kanak-kanak perempuan memakai tudung labuh.
Zanzibar, Tanzania
26 Julai 2016

Nilai Matawang

1,000 Tanzanian Shilling bersamaan RM1.88 berdasarkan kadar semasa artikel ini diterbitkan.

Kami amat berharap perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca. Sertai Berita Travel untuk capaian pantas di Telegram.

Zainuddin Omar

Seorang 'full time traveller, part time worker and professional dreamer' yang telah mengembara selama 40 tahun sejak pertengahan era 70-an lagi.

Cerita lain untuk dibaca

Penafian: Beberapa pautan pada blog ini adalah pautan afiliasi. Segala pautan ini adalah tidak memberikan anda sebarang kos tambahan, saya akan mendapat peratusan yang kecil iaitu komisen jika anda membuat pembelian dan saya hanya mengesyorkan produk yang terbaik!