Catatan Perjalanan Akhir Tahun di Kunming

Kongsikan
Kunming adalah bandar terbesar di dalam Wilayah Yunnan dan merupakan pusat pengangkutan, ekonomi, kebudayaan dan politik Yunnan. Altitud Kunming adalah 2,000 meter dari aras laut menjadikan suhu purata tahunan Kunming lebih kurang 16 darjah celcius. Cuaca di sini begitu sejuk dan nyaman dibandingkan dengan Kuala Lumpur, Malaysia.

Syarikat penerbangan Air Asia menyediakan satu penerbangan sehari dari Kuala Lumpur ke Kunming yang memakan masa selama 4 jam. Waktu di Malaysia dan Kunming adalah sama, anda tidak perlu menukar waktu jam setibanya di Kunming dari Malaysia.

Bandar Kunming terletak kira-kira 30 kilometer atau 40 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui dengan menaiki kereta jika tiada kesesakkan lalu lintas yang teruk. Selain itu, anda juga boleh menaiki teksi, bas awam atau rel keretapi ringan untuk ke Bandar Kunming dari lapangan terbang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui
Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui

Untuk edisi travelog kali ini, aku ringkaskan terus kepada tempat-tempat yang aku lawati sepanjang kunjungan aku ke Kunming. Semoga travelog ini dapat memberi gambaran dan maklumat mengenai Kunming kepada para pembaca.

1. Shilin Stone Forest

Terletak 90 kilometer dari Bandar Kunming dan satu jam setengah perjalanan, Shilin Stone Forest menjanjikan perjalanan jauh anda berbaloi. Di sini, aku dapat melihat susunan batu asli hasil daripada pergerakkan bumi berjuta tahun lamanya. Susunan batu di sini seolah-olah seperti di Pinnacles, Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak.

Shilin Stone Forest
Shilin Stone Forest

Luangkan masa selama empat ke lima jam di Shilin Stone Forest. Anda pasti kagum dengan keindahan alam ciptaan Tuhan yang begitu indah dan mempesonakan.

2. Jiuxiang Scenic Area

Perjalanan ke Jiuxiang Scenic Area memakan masa selama satu jam dari Shilin Stone Forest melalui kawasan luar bandar dengan pemandangan kebun serta hasil tanaman penduduk tempatan.

Aktiviti pertama selepas membeli tiket adalah menaiki bot selama sepuluh minit menyusuri sungai di kawasan Jiuxiang. Kemudian, aku bergerak ke gua pertama yang dipenuhi dengan stalagtit dan stalagmit yang terbentuk jutaan tahun lamanya. Ini adalah pemandangan biasa untuk aktiviti eksplorasi gua. Di hujung gua pertama, terdapat satu ruang besar seolah pentas konsert okestra klasik.

Jiuxiang Scenic Area
Menaiki bot menyusuri sungai di kawasan Jiuxiang
Jiuxiang Scenic Area

Perjalanan diteruskan ke gua kedua, ketiga dan keempat dengan pemandangan alam semulajadi yang begitu indah. Di gua keempat, terdapat dua air terjun yang mengalir deras memukau perhatian para pelancong untuk diabadikan bersama di dalam foto sebagai tanda kenangan.

Jiuxiang Scenic Area
Perjalanan merentasi antara gua-gua yang terdapat di sini
Jiuxiang Scenic Area

Di stesen terakhir, aku menaiki kerusi kabel ke pintu masuk selama dua puluh minit. Gayat juga rupanya, aku ingatkan santai sahaja perjalanan untuk tiba di stesen berhampiran pintu masuk Jiuxiang Scenic Area.

Jiuxiang Scenic Area
Kena menaiki kerusi kabel di stesen terakhir
Jiuxiang Scenic Area

3. Green Lake Park

Green Lake Park adalah salah satu taman rekreasi popular bagi penduduk di Kunming. Taman ini sangat luas dan pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini. Anda boleh menyertai penduduk tempatan menari pagi bersama mereka.

Di musim sejuk, seagull iaitu sejenis burung dari Tibet akan terbang ke Kunming disebabkan oleh peralihan cuaca. Kehadiran seagull mencantikkan lagi pemadangan sekitar taman. Anda boleh bergambar dan memberi makan seagull dengan roti yang dijual oleh penduduk tempatan di sekitar taman.

Green Lake Park
Green Lake Park

4. Masjid Yongning

Masjid ini berada di tengah Bandar Kunming menjadikan ia salah satu tempat popular bagi penduduk Kunming. Di kawasan masjid terdapat beberapa kedai makan yang begitu popular bagi masyarakat tempatan termasuk bukan muslim. Terdapat pelbagai menu makanan tempatan yang dijual di sini. Pilih dan bayar sahaja, anda pasti puas dengan masakan mereka.

Masjid Yongning
Masjid Yongning
Masjid Yongning
Kedai makan berdekatan Masjid Yongning
Masjid Yongning
Masjid Yongning
Pelbagai pilihan menu makanan untuk dicuba
Masjid Yongning

5. Flower City

Flower City adalah satu tempat pelancongan yang dibangunkan untuk menunjukkan keistimewaan Kunming dengan kepelbagaian bunga-bungaan. Di sini, aku dapat melihat tayangan video berkaitan bunga, pameran bunga dan ruang membeli-belah sebagai cenderamata dari Kunming.

Flower City
Flower City, Kunming

Maklumat Tambahan

  1. Pada pendapat aku, komunikasi di Kunming mempunyai keistimewaan dan keunikkan tersendiri kerana rata-rata penduduk tempatan tidak boleh berbahasa asing mungkin kerana rasa cinta kepada bahasa ibunda terlalu tinggi. Oleh itu, persiapkan diri dengan sedikit perkataan asas Mandarin melalui carian di Google atau muat turun aplikasi berkaitan Bahasa Mandarin ke telefon bimbit anda bagi memudahkan komunikasi ketika di Kunming nanti.
  2. Bagi pelancong Muslim, terdapat banyak kedai makan Muslim di sekitar Bandar Kunming. Cari sahaja papan tanda kedai makan berwarna hijau serta bertulisan halal dalam Bahasa Arab.
  3. Masakan di sini sedikit masin berbanding masakan di Malaysia mungkin disebabkan penggunaan garam untuk mengekalkan kesegaran bahan mentah bagi tempoh yang lama. Bersedia menerima cara masakan yang sedikit berbeza dan itulah salah satu keistimewaan apabila kita mengembara ke tempat baru.
  4. Selain itu, sediakan dua botol minuman ketika berjalan di Kunming. Satu botol untuk minum manakala satu botol lagi untuk urusan di tandas awam kerana kebanyakkan tandas di Kunming tidak menyediakan kemudahan air paip.
  5. Disebabkan cuaca sejuk, kelembapan yang rendah dan kesukaran untuk ke tandas akan menyebabkan anda kurang untuk minum air dan terdedah kepada kesan dehidrasi. Oleh itu, pastikan anda minum air yang mencukupi sepanjang berada di sana bagi memastikan keadaan badan sihat dan bersedia untuk berjalan-jalan meneroka Kunming.
  6. Motosikal di Kunming menggunakan elektrik sebagai penjana kuasa yang menyebabkan ia bergerak senyap di jalan raya. Oleh itu, sentiasa berhati-hati ketika berjalan dan melintas untuk menggurangkan risiko dilanggar motosikal secara tidak sengaja.
  7. Oleh kerana Kunming berada pada ketinggian hampir 2,000 meter dari paras laut, mereka yang ingin datang ke sini disarankan untuk membawa dan memakai baju atau jaket tahan sejuk. Kesejukkan akan lebih terasa pada sebelah pagi dan malam.
  8. Jika anda mencari cenderamata untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur, ronda sahaja Bandar Kunming dan secara automatik pasti anda akan terjumpa sesuatu untuk dibawa pulang seperti baju, kain, batu permata, selendang, bunga, buku dan sebagainya.
Kunming
Pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui
Kunming, Yunnan

Semoga travelog akhir tahun di Kunming ini dapat memberikan gambaran dan sedikit maklumat mengenai Kunming kepada para pembaca, terima kasih.

Kami amat berharap perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca. Sertai Berita Travel untuk capaian pantas di Telegram.

Abdul Hadi

Abdul Hadi adalah graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), ikuti Facebook beliau pada pautan di bawah.

Cerita lain untuk dibaca

Penafian: Beberapa pautan pada blog ini adalah pautan afiliasi. Segala pautan ini adalah tidak memberikan anda sebarang kos tambahan, saya akan mendapat peratusan yang kecil iaitu komisen jika anda membuat pembelian dan saya hanya mengesyorkan produk yang terbaik!