Sebelum bercuti ke destinasi-destinasi popular di Polinesia Perancis, ketahui dahulu maklumat-maklumat penting tentang perjalanan dan keadaan di sana supaya anda dapat membuat keputusan dengan baik.
Fakta Menarik
- Polinesia Perancis terdiri sepenuhnya dari pulau-pulau tanpa sempadan darat, walaupun beberapa negara pulau mempunyai sempadan darat tetapi tidak di sini dan jiran terdekatnya ialah Kiribati.
- Penduduk berbangsa cina (kira-kira 10 peratus) memonopoli perdagangan runcit, jadi ketika orang Tahiti bercakap tentang pergi berbelanja, mereka mengatakan mereka akan “la Chine” atau orang cina.
- Aksara “B” sebenarnya tiada dalam bahasa Tahitian. Bora Bora sebenarnya Pora Pora, yang bermaksud kelahiran pertama, tetapi pengunjung awal mendengarnya sebagai Bora Bora.
- Perkataan tatu berasal dari Tahiti. Legenda Tohu iaitu tuhan tatu, menggambarkan lukisan semua lautan ikan yang dibuat dalam pelbagai warna dan corak yang indah. Dalam budaya Polinesia, tatu telah lama dianggap sebagai tanda-tanda keindahan dan pada masa-masa terdahulu budaya bertatu dilaksanakan secara seragam oleh masyarakat Tahiti apabila mencapai usia remaja.
- Tiada ular atau serangga beracun di Polinesia Perancis.
- Peti surat di luar rumah masyarakat Tahiti adalah untuk penghantaran roti bukan untuk surat, untuk dapatkan surat perlu ke pejabat pos. Penduduknya mendapat roti segar yang dihantar dua kali sehari.
3 Destinasi Tumpuan Pelancong
1. Tahiti
Tahiti adalah pulau terbesar di Polinesia Perancis yang dibahagikan kepada Tahiti Nui dan Tahiti Iti. Memiliki pantai pasir hitam, lagun, air terjun dan 2 gunung berapi yang sudah pupus.
Mutiara hitam asli hanya terdapat di Kepulauan Tuomotu, Polinesia Perancis. Muzium Mutiara Hitam di Tahiti adalah satu-satunya muzium di dunia yang mempamerkan mutiara sahaja.

Foto oleh Josh Humbert untuk National Geographic
2. Moorea
Moorea adalah pulau yang bersebelahan dengan Tahiti. Ia terkenal dengan gunung berapi dan pantai yang cantik. Pada bahagian utara terdapat Gunung Rotui menghadap ke Teluk Opunohu yang indah dan penempatan di sekitar Teluk Cook. Pada bahagian pedalaman, boleh melakukan aktiviti pendakian melalui lereng Gunung Tohivea.

3. Bora Bora
Bora Bora pula terletak di bahagian barat laut Tahiti. Ia dikelilingi lagi oleh pulau-pulau kecil dan lagun turquoise yang dilindungi oleh terumbu karang, keindahan ini membuatkan ia terkenal di kalangan penyelam skuba. Ia juga merupakan destinasi peranginan mewah yang popular di mana beberapa banglo terletak di atas air. Pada bahagian tengah pulau ini masih terdapat gunung berapi aktif iaitu Gunung Otemanu dengan ketinggian 727 meter.
Lapangan terbang Bora Bora terletak di Motu Mute.

St. Regis, Bora Bora

Le Meridien, Bora Bora
Tempahan hotel
Tempahan hotel boleh dibuat di Booking.com.
Bagaimana untuk sampai ke sana?
Tiada penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Papeete, Tahiti atau Bora Bora. Caranya ialah menaiki AirAsia ke Auckland, New Zealand kemudian menaiki pesawat Air Tahiti Nui untuk sampai ke pulau ini.

Gambar ihsan Air Tahiti Nui
Tambang sehala AirAsia ke Auckland (Low Fare) ialah RM920, manakala Air Tahiti Nui dari Auckland ke Papeete pula ialah NZD524 (sehala) selama 5 jam. Untuk ke pulau Bora Bora perlu menaiki lagi satu pesawat Air Tahiti dari Papeete ke Bora Bora.
Begitulah perjalanan yang perlu ditempuhi sebelum dapat bersantai di pulau-pulau yang indah di Polinesia Perancis.