Eksplorasi Ibrah Bahtera Nabi Nuh ‘Alayhissalam

Kongsikan
Peristiwa banjir besar yang berlaku pada zaman Nabi Nuh 'alayhissalam telah diceritakan di dalam al-Qur'an dan telah timbul pula persoalan dimanakah bahtera itu terdampar?

Saya mahu membawa saudara semua menyingkap kembali kisah banjir besar dan bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam, kronologi dan kajian sains akan saya bentangkan di dalam artikel ini, ia agak berat dengan maklumat kerana percutian saya kali ini ialah menjejaki lokasi terdamparnya bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam.

Banjir besar dan bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam

Adakah banjir besar pernah berlaku pada zaman Nabi Nuh ‘alayhissalam pada suatu masa dahulu? Jawapannya sudah tentu YA, kerana kita beriman dengan al-Qur’an. Rujuk ayat al-Qur’an tentang kisah banjir besar ini.

Firman Allah – Subhanahu wa Ta’ala: Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan Nabi Nuh telah memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.”

Surah Hud 11:42

Selain perkhabaran daripada al-Qur’an, adakah terdapat bukti lain?

Mari kita baca pula pendapat saintis yang bukan Islam berkenaan banjir besar ini.

Walter Pitman dan William Ryan adalah dua orang ahli geologi dari Universiti Columbia, New York dan mereka telah membuat hipotesis bahawa satu banjir besar telah berlaku pada sekitar 8,400 tahun dahulu pada akhir Zaman Ais (Ice Age). Hasil daripada kajian mereka mendapati:

  1. Semasa Zaman Ais, Laut Hitam adalah tasik air tawar yang dikelilingi oleh kawasan perladangan yang penuh dengan aktiviti pertanian.
  2. Semasa akhir Zaman Ais, cuaca dunia menjadi lebih panas dan glasier yang banyak di Hemisfera Utara mulai cair dan menyebabkan kenaikkan paras air laut.
  3. Topologi laut yang unik menyebabkan Laut Mediterranean dan Laut Aegean melimpah dan arus laju menolak dengan kuat melalui Selat Bosphorus yang sempit ke Laut Hitam. Kekuatan air yang meluncur (funnel effect) melalui Selat Bosphorus yang sempit diibaratkan seperti kekuatan 200 kali ganda tsunami yang menghentam Aceh pada tahun 2004, cuba anda bayangkan bagaimana dahsyatnya kekuatan 200 kali ganda tsunami seperti yang telah berlaku di Aceh. Tsunami Aceh itu pun sudah menyebabkan kematian ratusan ribu manusia dan kerosakan melata, apatah lagi kekuatan 200 kali ganda.
  4. Kejadian ini menyebabkan banjir besar dikawasan Laut Hitam dan telah menenggelamkan 150,000 km persegi kawasan berdekatan – saiz itu adalah lebih besar dari Semenanjung Malaysia yang bersaiz 130,000 km persegi.

Pada tahun 1999, seorang peneroka maritim Bob Ballard membuat ekspedisi menggunakan kapal selam robotik turun ke dasar Laut Hitam. Hasilnya Ballard menjumpai spesis air tawar dan air masin mollusk shells (sejenis siput). Radiocarbon dating mendapati cengkerang tersebut berusia 7,000 tahun dan ini menguatkan teori ahli geologi Ryan dan Pitman bahawa benar-benar telah berlaku banjir besar sekitar 5,000 BCE. Laut Hitam yang kita kenali sekarang adalah air masin akibat daripada banjir besar ini, ianya adalah tasik air tawar pada 7,000 tahun dahulu.

Pada tahun 1928 dan 1929 penggalian ahli arkeologi di Ur dan Kish di Iraq mendapati 10 kaki lapisan tanah liat diatas tempat-tempat tinggal Tamadun Mesopotamia. Ini menggukuhkan lagi teori bahawa banjir besar telah berlaku dan menenggelamkan semua kediaman Tamadun Mesopotamia dan meninggalkan kesan tanah liat diatasnya. Cuba bayangkan jika hujan lebat tanpa henti berbulan-bulan pada masa yang sama dan menyebabkan Sungai Eufrat dan Tigris dan Tasik Van melimpah di kawasan itu. Jika semua fenomena ini berlaku serentak pada sekitar 5,000 BCE, maka berlakulah banjir besar seperti apa yang dinyatakan di dalam al-Qur’an.

Persoalan seterusnya:

  1. Adakah banjir besar ini berlaku di seluruh dunia seperti cerita Israiliyyat atau hanya di satu kawasan itu sahaja?
  2. Siapakah kaum Nabi Nuh ‘alayhissalam dan tamadun mana yang menerima bala Allah melalui banjir besar itu?
  3. Dimanakah terdamparnya bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam? Adakah ianya di satu puncak Gunung Ararat yang tinggi 5,000 meter bersamaan 16,800 kaki?
  4. Masihkah terdapat kesan bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam seperti yang diwar-warkan oleh beberapa pengembara barat dan gambar satelit sebelum ini?

Saya cuba mencari jawapannya daripada ekspedisi ke kawasan Turki Timur yang mana pada zaman dahulu namanya Upper Mesopotamia.

Sejarah Turki Timur

Tamadun diantara Sungai Eufrat dan Tigris adalah Sumeria, Akkadia, Babylon, Assyria dan juga beberapa empayar kecil. Mari kita lihat garis masa tamadun-tamadun tersebut:

  1. 5,000-3,500 BCE: Empayar Sumeria.
  2. 3,500 BCE: Penulisan dicipta.
  3. 2,300 BCE: Raja Sargon Akkadia mulai berkuasa.
  4. 2,100 BCE: Kemerosotan Empayar Sumeria.
  5. 1,792-1,749 BCE: Empayar Raja Hammurabi Babylon bermula.
  6. 1,530 BCE: Kekalahan Babylon kepada Empayar Kassites dan mulanya Empayar Assyria.

Perkara Penting

Banjir besar berlaku di kawasan ini sahaja dan kajian saintis menyangkal ianya berlaku di seluruh dunia pada pengakhiran Zaman Ais. Kawasan ini yang dinamakan Mesopotamia di mana manusia mendiami kawasan subur antara Sungai Eufrat dan Tigris sejak 8,000 tahun dahulu.

Kebanyakan tamadun dunia berkisar di kawasan sungai yang subur seperti Tamadun Indus di Sungai Indus, India dan Tamadun Mesir di Sungai Nil.

Sungai Eufrat
Melihat Sungai Eufrat yang menjadi nadi kepada Tamadun Mesopotamia sewaktu masa dahulu
Sungai Eufrat, Turki24 April 2017

Apa yang dapat kita rumuskan setakat ini ialah:

  1. Banjir besar berlaku sekitar 5,000 BCE.
  2. Berdasarkan al-Qur’an, Nabi Nuh ‘alayhissalam adalah nabi yang diutus oleh Allah untuk memberi dakwah kepada kaumnya yang ingkar sahaja dan tidak kepada seluruh dunia. Allah akan memberi bala kepada kaum yang ingkar sahaja sebagai pengajaran kepada kita semua di kemudian hari.
  3. Berdasarkan al-Quran, Nabi Nuh ‘alayhissalam telah berdakwah selama 950 tahun kepada kaumnya.
  4. Pada garis masa di atas 5,000 BCE adalah zaman Empayar Sumeria dan ini bermakna kaum Nabi Nuh ‘alayhissalam adalah orang Sumer.
  5. Berdasarkan al-Qur’an, bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam terdampar di Gunung Judi. Hanya cerita Israiliyyat mengatakan ianya di puncak Gunung Ararat.
  6. Sepasang binatang seluruh dunia mustahil dapat dimasukkan ke dalam sebuah bahtera, itu berdasarkan cerita Israiliyyat tetapi boleh di terima akal jika setiap sepasang binatang dapat dikumpulkan daripada satu kawasan seperti Mesopotamia sahaja.
  7. Al-Qur’an tidak menceritakan bahawa banjir besar berlaku di seluruh dunia dan hanya terdapat di dalam cerita Israiliyyat sahaja mengatakan banjir seluruh dunia.

Dari salasilah 25 rasul, Nabi Nuh ‘alayhissalam adalah rasul yang ketiga diutus oleh Allah – Subhanahu wa Ta’ala, selepas Nabi Adam ‘alayhissalam dan Nabi Idris ‘alayhissalam. Ini bermakna jarak Nabi Adam ‘alayhissalam dan Nabi Nuh ‘alayhissalam tentunya tidak jauh, antara ribuan tahun sahaja.

Ada juga pentafsir dan ahli sejarah Islam menyebut era Nabi Adam ‘alayhissalam pada sekitar 10,000 BCE (walhal Nabi Nuh ‘alayhissalam pada 5,000 BCE dan Nabi Muhammad sallalLahu ‘alayhi wasallam pada 571 CE).

Era Nabi Adam ‘alayhissalam jika diterima pada tahun 10,000 BCE, ianya adalah terlalu muda berbanding usia bumi yang berusia 4.54 bilion tahun. Ramai berpendapat (dan saya bersetuju) bahawa Nabi Adam ‘alayhissalam adalah bukan manusia pertama yang dicipta Allah di dunia ini.

Era dinosaur pula berakhir 65 juta tahun dahulu.

Siapakah Java Man (fosil berusia 1 juta tahun), Peking Man (fosil 500 juta tahun) dan Lucy (fosil 3.2 juta tahun) yang disebut sebagai Homo Erectus yang dijumpai oleh ahli arkaelogi di Pulau Jawa, Ethiopia dan China itu?

Lokasi Gunung Judi

Dimanakah Gunung Judi ini?

Menerusi kitab suci al-Qur’an diceritakan:

Firman Allah – Subhanahu wa Ta’ala: Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu.” Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim.”

Surah Hud 11:44

Dari zaman-berzaman carian dibuat oleh pengembara untuk mencari dimana terletaknya Gunung Judi ini dan terdapat tiga tempat yang dipercayai bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam itu terdampar iaitu di semenanjung Iraq, di perbatasan Turki-Syria, di Durupinar, Gunung Tendurek, Banjaran Ararat dan di puncak Gunung Ararat sendiri.

Kebanyakan carian oleh arkaelogi barat menumpukan perhatian di Durupinar, Turki Timur kerana terdapat satu bentuk unik yang menyerupai sebuah bahtera dilereng Gunung Tendurek, Banjaran Ararat.

Pada pagi hari ini, 24 April 2017 saya berpeluang ke tapak Durupinar yang hanya 45 km dari bandar Dogubeyazit, Turki Timur dan hanya 10 km dari pintu sempadan Turki-Iran.

Jalan Masuk Durupinar
Jalan masuk ke Durupinar, lokasi terdamparnya bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam
Durupinar, Tendurek, Turki24 April 2017
Durupinar
Eksplorasi ini untuk mencari jawapan dimanakah terdamparnya bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam sewaktu masa dahulu, tempoh masa 7,000 tahun yang lalu
Durupinar, Tendurek, Turki24 April 2017

Apa yang saya perhatikan setelah berada setengah hari di tapak Durupinar:

  1. Ketinggian tempat ini ialah 6,500 kaki berbanding puncak Gunung Ararat 16,800 kaki. Pada pandangan saya agak mustahil banjir besar mencecah ketinggian sehingga 16,800 kaki kerana banjir ini hanya berlaku setempat yang melibatkan 150,000 km persegi sahaja seperti kajian saintis dan ahli geologi.
  2. Apabila saya mendaki ke tempat ini, saya lihat kesan seperti sebuah kapal besar yang berat mengelongsor ditebing bukit yang menyebabkan tanah ditepi ternaik keatas (heave) setinggi 20-30 kaki.
  3. Bentuk tanah itu seperti sebuah bahtera tirus di depan dan lebar di belakang.
  4. Pada bahagian hadapan tempat yang terdapat kesan ini, terbentang luas basin seperti sebuah kuali besar dan sekelilingnya gunung-ganang Banjaran Ararat. Tidak mustahil pada satu masa dahulu basin ini dipenuhi air.
  5. Ada yang mengatakan tempat ini sebagai geological freak of nature tetapi semua kajian dari flood geology menjurus kepada fenomena banjir besar pernah berlaku pada 5,000 BCE di Upper Mesopotamia sehingga ke Banjaran Ararat.
  6. Saya banyak membaca penulisan kajian arkaelogi dan kejuruteraan geologi di mana ramai bersetuju kawasan Durupinar ini dipercayai tempat terdamparnya bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam.
  7. Sudah tentulah selepas 7,000 tahun, bahtera yang diperbuat daripada kayu itu menjadi reput dan tiada lagi kesan kayu, tetapi kesan gelongsoran satu kapal besar sangat nyata ditebing gunung.
  8. Tiada kesan bahtera kelihatan di mana-mana tempat yang didakwa oleh setengah pihak.
Durupinar
Tapak Durupinar ini hanya berada pada paras ketinggian 1,981 meter bersamaan 6,500 kaki
Durupinar, Tendurek, Turki24 April 2017
Gunung Ararat
Kelihatan Gunung Ararat dari sini, puncak gunung ini mencapai ketinggian 5,000 meter bersamaan 16,800 kaki. Gunung ini berada di perbatasan Turki, Armenia dan Iran
Durupinar, Tendurek, Turki24 April 2017
Durupinar
Pemandangan daripada atas jelas kelihatan ia seperti bentuk kapal akibat perlanggaran yang kuat sehingga membentuk permukaan tanah seperti yang jelas kelihatan sekarang
Durupinar, Tendurek, Turki
Durupinar
Saya mendaki di sekeliling tapak ini dan boleh merasakan keunikan tempat ini
Durupinar, Tendurek, Turki24 April 2017
Durupinar
Nama Durupinar ini bersempena nama orang yang mula-mula menjumpai tapak ini iaitu seorang anggota tentera Turki – Kapten Durupinar
Durupinar, Tendurek, Turki24 April 2017
Durupinar
Kelihatan tanah sekeliling seperti di ‘heave’ oleh satu gelongsoran kapal yang besar dan berat
Durupinar, Tendurek, Turki24 April 2017
Durupinar
Ketinggian heave setinggi 20-30 kaki
Durupinar, Tendurek, Turki24 April 2017

Hasil pemerhatian saya di Durupinar, Banjaran Ararat ini dan kajian-kajian serta bacaan yang telah dibuat, saya percaya tempat ini adalah dimana lokasi terdamparnya bahtera Nabi Nuh ‘alayhissalam sekitar 5,000 BCE dahulu.

Nota Editor

Nabi Adam ‘alayhissalam adalah manusia pertama di bumi ini sebagaimana dalil al-Qur’an dalam Surah al-Baqarah 2:30. Sebelum itu tiada wujud manusia lain melainkan Jin. Apabila Hawa diperisterikan oleh Nabi Adam ‘alayhissalam barulah berkembang zuriat manusia di bumi ini. Baginda diturunkan ke dunia berdasarkan dalil Surah al-Baqarah 2:36. Secara khususnya kita tidak mengetahui tahun bila zaman Nabi Adam itu bermula.

Singkatan Untuk Tahun

BCE adalah Sebelum Masihi singkatan kepada Before Common Era atau Before Christian Era atau boleh juga Before Current Era. Manakala CE dan AD adalah Masihi, CE adalah Common Era atau Christian Era atau boleh juga Current Era manakala AD pula istilah Latin iaitu Anno Domini bermaksud Tahun Tuhan Kita, yang membawa maksud kelahiran Jesus. Contoh seperti sekarang tahun 2017 boleh juga ditulis sebagai 2017 Masihi atau 2017 CE atau 2017 AD.

Kami amat berharap perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca. Sertai Berita Travel untuk capaian pantas di Telegram.

Zainuddin Omar

Seorang 'full time traveller, part time worker and professional dreamer' yang telah mengembara selama 40 tahun sejak pertengahan era 70-an lagi.

Cerita lain untuk dibaca

Penafian: Beberapa pautan pada blog ini adalah pautan afiliasi. Segala pautan ini adalah tidak memberikan anda sebarang kos tambahan, saya akan mendapat peratusan yang kecil iaitu komisen jika anda membuat pembelian dan saya hanya mengesyorkan produk yang terbaik!