Persiapan melancong adalah sangat penting, bukan apa jika anda sentiasa bersedia hati menjadi lebih tenang dan pengalaman melancong juga menyeronokkan bagi mengelakkan gangguan yang tidak diingini.
- 1. Tetapkan Tujuan
- 2. Persiapan Tiket Perjalanan
- 3. Pilih Penginapan Yang Sesuai
- 4. Pakaian Yang Sesuai
- 5. Peralatan Ketika Melancong
- 6. Simpan “Softcopy” Kad Pengenalan dan Pasport Sebagai Bukti Jika Berlaku Kecemasan
- 7. Selesaikan Tugasan dan Bayaran Penting
- 8. Maklumkan Kepada Keluarga atau Orang Yang Anda Percayai
- 9. Jaga Kesihatan
1. Tetapkan Tujuan

Tujuan melancong adalah perkara paling utama kerana apabila sudah ditetapkan tujuan barulah anda tahu perkara yang hendak dibuat serta kos perbelanjaan yang diperlukan bagi menjayakan rancangan berkenaan.
2. Persiapan Tiket Perjalanan

Tiket perjalanan berdasarkan lokasi anda melancong sama ada ia memerlukan penerbangan, bas, feri dan tidak lupa juga kos menyewa kenderaan jika diperlukan.
3. Pilih Penginapan Yang Sesuai

Penginapan berdasarkan bajet yang anda peruntukkan, pilih ikut kemampuan masing-masing tetapi yang penting ia selesa dan berbaloi. Bukanlah hotel 5 bintang sahaja yang menjanjikan penginapan terbaik, penginapan bajet juga ada yang selesa dan menarik, paling mustahak perkara asas tempat tidur untuk anda berehat.
Untuk tempahan penginapan anda boleh dapatkan di Booking.com.
4. Pakaian Yang Sesuai

Pakaian hendaklah sesuai dengan jenis aktiviti yang anda lakukan. Setiap aktiviti berlainan keperluan pakaiannya, ia bukan sahaja perlu selesa tujuan utama ialah menjaga keselamatan diri.
Setakat ini pengalaman kami sendiri ialah melancong di bandar dan juga pulau. Ketika jalan-jalan di bandar pakaian seperti biasa sahaja iaitu t-shirt, seluar jenis khakis ataupun denim, kasut kasual, boots atau kadangkala lebih ringkas hanya berselipar sahaja. Jika anda seorang yang banyak bawa peralatan fotografi, memakai jaket yang memiliki banyak poket juga ada baiknya kerana banyak aksesori yang boleh dibawa.
Semasa pendakian (hiking) pula jangan pakai seluar yang terlalu “skinny” kerana agak ketat untuk menggerakkan kaki, melainkan ia seluar trek yang sesuai untuk bersukan. Kasut sukan yang sesuai amat penting untuk menjaga keselamatan kaki anda, selipar tidak dibenarkan sama sekali.
Semak jadual perjalanan terlebih dahulu dan destinasi yang dituju kemudian senaraikan keperluan pakaian yang perlu dibawa bersama. Sebab itulah saya tidak gemar melancong tanpa pelan yang spesifik kerana susah untuk membuat persediaan, akibatnya nanti pengalaman melancong akan jadi kurang memuaskan.
5. Peralatan Ketika Melancong

Peralatan ketika melancong berdasarkan matlamat yang anda mahu capai. Bagi kami sebagai penulis kandungan web travel kami mahu hasilkan kandungan berkualiti dengan gambar dan video yang cantik lagi menarik. Oleh itu, pelbagai jenis kamera diperlukan mengikut tugas yang hendak dibuat seperti Kamera DSLR untuk capture gambar landskap, potret dan panorama. Drone untuk aerial photography seperti Karma dan jangan lupa kamera aksi kalis air seperti GoPro Hero 7 atau Garmin VIRB Ultra 30 jika anda snorkeling di Sabah atau seumpamanya.
6. Simpan “Softcopy” Kad Pengenalan dan Pasport Sebagai Bukti Jika Berlaku Kecemasan

Perkara ini saya lakukan sebagai langkah berjaga-jaga dikhuatiri kad pengenalan atau pasport tercicir ketika melancong. Jadi, langkah selamat yang boleh dijadikan bahan bukti ialah scan dokumen tersebut dan simpan di storan online seperti Google Drive dan sebagainya. Apabila diperlukan nanti tidaklah gelabah, anda cuma download sahaja untuk kegunaan sementara sebagai bukti.
7. Selesaikan Tugasan dan Bayaran Penting

Sebelum bermusafir pastikan anda langsaikan bayaran wajib seperti sewa rumah, bil-bil utiliti dan hutang yang mampu diselesaikan, seboleh-bolehnya anda melancong tanpa meninggalkan hutang kerana kita semua tidak dapat jangka perkara yang bakal berlaku walaupun sudah merancang dengan baik.
Perkara kedua pula anda hendaklah bertanggungjawab terhadap tugas iaitu kerja harian mencari rezeki, jangan tinggalkan sesuka hati tanpa memberitahu pelanggan bahawa anda tidak dapat memenuhi permintaan mereka pada sekian-sekian tarikh kerana melancong, itu jika anda freelance designer seperti saya. Jika anda kerja di bawah sesebuah syarikat maklumkan kehendak anda untuk melancong seketika kerana kita semua mahu melancong seperti juga orang lain.
8. Maklumkan Kepada Keluarga atau Orang Yang Anda Percayai

Jangan lupa maklumkan kepada keluarga terdekat sebelum melancong supaya mereka tahu anda berada di mana atau boleh juga kepada orang yang anda percayai.
9. Jaga Kesihatan

Kesihatan adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dengan wang ringgit, jagalah kesihatan dengan baik supaya nanti perjalanan ketika melancong tidak terganggu.